Kurun Najwa

Suntikan lindungi bayi

BARANGAN bayi antara keperluan pertama disediakan setiap pasangan apabila menerima kehadiran orang baru. Bagaimanapun, ia tidak sepenting persediaan untuk penjagaan kesihatan kerana pada ketika ini si kecil berdepan pelbagai risiko dan gangguan kesihatan.




Ada lebih 15 penyakit yang menanti bayi anda seperti tuberkulosis, hepatitis A dan B, difteria, tetanus (kancing gigi), pertusis (batuk kokol), polio, Hib (Haemophilus influenza jenis b), campak, beguk, rubela, rotavirus, pneumokokal, cacar air dan mengingokokal.

Bagaimanapun, bayi anda mendapat perlindungan kepada 10 penyakit yang disenaraikan di atas melalui Program Imunisasi Kebangsaan dengan syarat anda membawa si kecil untuk diberi vaksin, sama ada secara oral (mulut) atau suntikan.

Namun menurut perunding paediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, penjagaan bayi sebenarnya bermula ketika dalam kandungan lagi kerana tempoh sembilan bulan itu disifatkan sebagai waktu paling penting bagi ibu untuk memberi lebih perhatian kepada kesihatan diri dan bayinya.

Apabila seseorang wanita hamil, dia tidak boleh mengambil ubat sewenang-wenangnya kerana kebanyakan jenis ubat boleh memberi kesan negatif terhadap janin. Malah, ubat yang dikategorikan ‘selamat’ akan jatuh ke dalam kategori ‘kurang selamat’ untuk wanita hamil.

Ini kerana ubat yang dihasilkan kini hanya diuji ke atas haiwan; justeru kesan langsung terhadap anak dalam kandungan tidak diketahui.

Ini sebabnya setiap wanita perlu menitikberatkan soal kesihatan dengan mengambil pemakanan seimbang dan meneruskan gaya hidup sihat sepanjang kehamilan.

Bahkan, mereka juga masih boleh melakukan senaman ringan mengikut kemampuan. Ketika hamil, ibu dan bayi adalah satu entiti; jika ibu sihat, bayi dalam kandungan juga akan sihat.

Melalui Program Imunisasi Kebangsaan, setiap bayi diberi perlindungan kepada penyakit tuberkulosis, hepatitis B, difteria, kancing gigi, batuk kokol, Hib, polio, campak, beguk dan rubela secara percuma.

Bagaimanapun, bayi anda masih terdedah kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti rotavirus, pneumokokal, influenza, cacar air dan mengingokokal — semua ini tidak termasuk dalam imunisasi kebangsaan.

Mengapa imunisasi penting? Setiap hari kanak-kanak terdedah kepada pelbagai jenis kuman (mikro organisma) yang boleh memasuki badan saluran pernafasan, mulut, kulit, makanan dan minuman. Virus dan bakteria ini juga mudah tersebar antara manusia melalui percikan air liur ketika batuk dan bersin.
Walaupun kebanyakannya tidak berbahaya, sebahagian kecil mikro organisma ini, khususnya virus dan bakteria, boleh menyebabkan masalah kesihatan serius, contohnya campak, difteria dan polio.

Sesetengah penyakit seperti polio diisytiharkan sudah terhapus di negara kita, tetapi tidak bermakna kita bebas sepenuhnya daripada virus polio kerana virus ini masih wujud di sesetengah negara di Asia dan Afrika.

Pada 2006, kerajaan Indonesia melancarkan lima kempen suntikan polio yang memberi perlindungan kepada 25 juta kanak-kanak selepas mengesan 329 kanak-kanak dan bayi jatuh sakit apabila penyakit ini muncul semula pada 2005.

Ini bermakna anak kita masih berdepan risiko virus polio, justeru kita perlu membawa anak mendapatkan vaksin yang diberi percuma di mana-mana klinik dan hospital kerajaan.

Mungkin sesetengah golongan muda tidak tahu kewujudan penyakit ini. Serangan virus polio boleh menyebabkan seseorang menjadi lumpuh.

Tindakan segera memberi perlindungan vaksin sangat penting kerana virus ini mudah merebak. Kini kedatangan berjuta-juta pelancong dan pendatang haram memudahkan kemasukan semula virus ini ke negara kita.

Tidak kira sama ada anda baru menimang cahaya mata pertama atau menambah keluarga, setiap pasangan perlu memastikan anak mereka diberi perlindungan dan cara paling mudah ialah melalui vaksinasi.

Sejak Program Imunisasi Kebangsaan diperkenalkan pada pertengahan 1950-an dan dikemaskini dua kali pada 1986 dan 2006, ia terbukti mampu meningkatkan tahap kualiti hidup dan mengurangkan kadar kematian di kalangan kanak-kanak di negara kita.

“Wanita juga diingatkan untuk menyusukan anak secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan. Saranan ini bukan hanya untuk memberi makanan lengkap, tetapi susu ibu sebenarnya mengandungi unsur penting untuk meningkatkan tahap ketahanan badan seseorang bayi.

“Gabungan susu ibu dan vaksin boleh memberi perlindungan yang lebih baik kepada bayi anda,” katanya dalam dalam seminar Ibu Sihat, Anak Sihat anjuran Persatuan Peadiatrik Malaysia (MPA) dengan kerjasama GlaxoSmithKline, yang turut melancarkan buku panduan Vaccine-preventable Diseases.

Walaupun suntikan imunisasi diberi secara percuma, masih ada ibu bapa tidak membawa anak mereka untuk mendapatkan perlindungan penting ini. Ada juga yang hanya membawa anak sekali dua ke klinik dan tidak menghabiskan program vaksin.

Apa akan terjadi jika anak anda tidak mendapat vaksin? Ada dua kemungkinan, iaitu jika anak anda bertuah, dia membesar tanpa dijangkiti penyakit yang boleh dilindungi vaksin.

Kemungkinan kedua ialah jika anak anda terdedah kepada jangkitan mana-mana 10 penyakit seperti disenaraikan di atas dan jatuh sakit. Jika anak anda dijangkiti, dia juga akan menjangkiti orang lain, termasuk kawan dan ahli keluarga.

Kalau sekadar ‘ponteng’ sekolah beberapa hari kerana tidak sihat, tidak mengapa. Yang dibimbangkan ialah jika terpaksa keluar masuk hospital atau ditahan di wad. Jangan lupa, ada banyak penyakit kanak-kanak yang boleh menyebabkan kecacatan dan mengancam nyawa.

Adakah suntikan vaksin selamat? Ya, dan kebanyakan kesan sampingan yang mungkin dialami ialah demam dan sakit pada bahagian disuntik. Jika terlewat membawa anak mendapatkan suntikan vaksin, anda tidak perlu bimbang kerana vaksin boleh diberi pada sebarang umur.

Bagaimanapun perlu diingat, anak anda paling memerlukan perlindungan dalam tempoh dua tahun pertama hidupnya.

Bagi yang membawa anak mendapatkan suntikan dan terlewat untuk dos seterusnya juga tidak perlu khuatir. Selepas dos pertama, badan anak anda menghasilkan imuniti terhadap penyakit tetapi tahapnya masih rendah dan ia perlu dipertingkatkan dengan dos seterusnya.

Jadi untuk tidak terlupa, tandakan kalender bila anda perlu membawa si kecil ke klinik.

Sumber Harian Metro

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails