Kurun Najwa

Lampin pun ada masalah

PERNAHKAH anda melihat kanak-kanak berusia empat tahun ke atas yang cergas dan petah bercakap tetapi masih memakai lampin pakai buang?

Tidakkah pada usia ini (terutama apabila sudah pandai bercakap), mereka tidak lagi memerlukan lampin kerana boleh memberitahu ibu bapa jika mahu ke tandas?




Ada ibu bapa berpendapat, penggunaan lampin pakai buang yang ditambah dengan ciri-ciri perlindungan tambahan terhadap kebasahan menyebabkan kanak-kanak lambat belajar untuk ke tandas.

Walaupun tiada kajian khusus, kanak-kanak yang memakai lampin kain lebih cepat dan mudah diajar untuk ke tandas. Malah ada kanak-kanak tidak lagi memakai lampin apabila memasuki umur dua setengah tahun.

Ini kerana lampin kain lebih cepat basah dan menyebabkan kanak-kanak berasa tidak selesa. Selepas beberapa ketika, kanak-kanak ini boleh mengaitkan antara rasa hendak kencing dengan ketidakselesaan apabila lampin mereka basah.

Kajian mendapati hampir 95 peratus ibu bapa di Amerika Syarikat memilih lampin pakai buang untuk anak mereka.

Rasanya keadaan tidak jauh berbeza di negara kita kerana lampin pakai buang kini menjadi pilihan utama, sama ada di kalangan ibu yang bekerja mahupun suri rumah tangga.

Antara sebabnya ialah ia lebih mudah, selesa dan praktikal untuk ibu dan anak, terutama jika berjalan jauh. Namun segelintir ibu bapa masih memilih lampin kain atas alasan:

# Lebih selesa

# Kurang masalah ruam lampin kerana lampin yang dibuat daripada kain kapas mempunyai pengudaraan baik. Ia akan segera ditukar apabila basah dan mengurangkan risiko ruam lampin

Bagaimanapun pendapat ini masih dipertikai kerana lampin pakai buang kini direka supaya bayi lebih kering dan ia sekali gus dapat mengurangkan risiko ruam lampin. Namun, baik lampin pakai buang atau kain, yang penting ia perlu ditukar apabila basah atau dua jam sekali bagi lampin kain dan tiga hingga empat jam sekali bagi lampin pakai buang

# Bayi lebih cepat belajar ke tandas

# Lebih menjimatkan

# Tidak akan membebankan bumi

Memang benar, penggunaan lampin kain, termasuk lampin kain kapas organik, lebih menjimatkan kerana tahan lama dan boleh digunakan berulang kali. Jika dijaga dengan baik, ia boleh disimpan untuk kegunaan anak seterusnya!

Secara purata, bayi baru lahir menggunakan lapan hingga 12 helai lampin sehari dan berkurang kepada enam hingga lapan helai apabila berusia lapan atau sembilan bulan. Jika mahu menggunakan lampin kain, anda memerlukan sekurang-kurangnya satu hingga tiga dozen lampin.

Lampin kain sepatutnya tidak bocor. Kebocoran hanya akan berlaku apabila:

# Lampin tidak ditukar dengan kerap. Ini adalah masalah biasa apabila ibu bapa bertukar daripada lampin pakai buang kepada lampin kain. Lampin kain perlu ditukar sekurang-kurangnya dua jam sekali atau apabila perlu

# Lampin dicuci dengan sabun yang kuat dan pelembut fabrik. Sesetengah sabun dan semua pelembut fabrik akan menyalut lampin supaya ia kalis air. Jika anda menggunakan lampin kain, seelok-eloknya guna air panas untuk bilasan terakhir bagi menyingkir saki baki sabun. Ia juga bertujuan membunuh kuman

Persoalannya, adakah benar lampin pakai buang akan membebankan bumi? Kajian mendapati sama ada lampin pakai buang atau lampin kain, kedua-duanya memberi kesan negatif kepada bumi dengan cara berbeza.

Lampin pakai buang memerlukan lebih bahan mentah untuk dihasilkan dan memenuhi tapak pelupusan sampah kerana ia mengambil masa yang sangat panjang untuk hancur dan lupus. Lampin kain pula menggunakan banyak bahan pencuci, air dan elektrik untuk membersihkannya.

Kajian di United Kingdom yang dijalankan Rangkaian Alam Sekitar Wanita (WEN) pada 1991 mendapati lampin pakai buang menggunakan 20 kali ganda bahan mentah, tiga kali ganda tenaga, dua kali ganda air dan menghasilkan enam kali ganda sisa pepejal berbanding lampin kain.

Timbul pula kebimbangan merebaknya bakteria daripada lampin pakai buang tetapi Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) menegaskan, lampin pakai buang terletak dalam kategori bahan yang selamat untuk dibuang memandangkan sistem pelupusan sampah di sana diselenggara dengan baik.

Namun di negara kita ia masih menjadi kebimbangan kerana segelintir masyarakat mementingkan diri dan kurang peka terhadap isu ini apabila membuang lampin pakai buang (termasuk berisi najis) merata-rata, terutama di tempat rekreasi awam seperti sungai dan air terjun.

Pilihan terletak di tangan anda. Sama ada lampin pakai buang atau kain, kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Yang penting ialah, di samping memastikan anak sentiasa dalam keadaan bersih, kita perlu menjaga kebersihan tangan.

Apabila anda menukar lampin, alas punggung anak dengan pelapik khas. Cuci tangan dan pelapik ini setiap kali selesai menukar lampin.

Jangan tukar lampin di atas lantai tanpa alas kerana anda bukan saja memindahkan bakteria ke lantai, malah boleh membuatkan air sembahyang terbatal jika terpijak bahagian ini.

Sumber Harian Metro

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails