UMUMNYA, semua bayi tidur sepanjang siang dan malam — hanya bangun untuk makan setiap beberapa jam. Jadi pasangan yang baru menjadi ibu bapa sukar menentukan berapa lama dan kerap bayi mereka perlu tidur.
Tiada kaedah khusus untuk menentukannya kerana bayi tidak mengetahui antara siang dan malam. Mereka sangka perlu tidur waktu siang dan kerap berjaga waktu malam! Namun secara purata, setiap bayi tidur antara lapan hingga sembilan jam waktu siang dan kira-kira lapan jam waktu malam.
Kebanyakan bayi terjaga beberapa kali pada waktu malam dan hanya selepas umur tiga bulan baru mereka tidur sepanjang malam.
Oleh kerana perut mereka kecil, bayi terjaga setiap tiga hingga empat jam. Bagaimanapun, jangan beri bayi anda tidur melebihi lima jam satu-satu masa ketika berumur antara lima hingga enam minggu pertama.
Sesetengah bayi yang dilahirkan pra matang perlu disusukan lebih kerap.
Perhatikan pada corak tidur bayi anda. Jika bayi anda biasanya tidur nyenyak dan bangun mengejut, ia mungkin menandakan si kecil mengalami masalah seperti jangkitan telinga. Tidur bayi juga boleh terganggu akibat perubahan perkembangan atau disebabkan rangsangan berlebihan.
Paling penting, jangan biarkan botol susu ada di mulut bayi anda ketika dia tidur kerana boleh menyebabkan jangkitan telinga atau tercekik.
Seperti orang dewasa, bayi menjalani beberapa fasa tidur. Bergantung kepada fasa tidurnya, bayi anda mungkin bergerak aktif atau baring tidak bergerak langsung.
Corak tidur bayi bermula ketika bulan terakhir kehamilan — tidur yang bergerak aktif dulu, kemudian diikuti dengan tidur tidak bergerak pada hujung bulan kelapan.
Jenis tidur bayi:
# REM (tidur mata bergerak) — Tidur yang tidak nyenyak iaitu apabila bermimpi dan mata bergerak ke depan dan belakang. Walaupun bayi tidur 16 jam sehari, separuh daripadanya dalam fasa ini. Kanak-kanak besar dan orang dewasa tidur lapan jam, tetapi tidur mereka tidak banyak fasa REM.
# Fasa bukan REM — Terbahagi kepada empat peringkat:
Peringkat 1 — mengantuk: mata tertutup, atau terbuka tetapi tertutup semula
Peringkat 2 — tidur belum nyenyak: bayi bergerak, terkejut atau terjaga bila ada bunyi
Peringkat 3 — tidur nyenyak: bayi diam dan tidak bergerak
Peringkat 4 — tidur sangat nyenyak: bayi diam dan tidak bergerak
Pada permulaan tidur, bayi memasuki fasa 1, ke fasa 2, 3 dan 4 kemudian berbalik ke fasa 3, 2 dan ke REM. Pusingan ini berulang beberapa kali sepanjang dia tidur.
Ketika bangun, tahap bayi terjaga juga berbeza. Apabila bayi terjaga penghujung pusingan tidur, ini fasa terjaga yang sunyi. Bayi anda tidak bergerak, tetapi sudah bangun dan seolah-olah tenggelam dalam dunianya.
Ketika ini juga bayi anda mungkin kelihatan merenung sesuatu objek dan bertindak balas terhadap bunyi serta pergerakan, kemudian mereka bergerak aktif.
Selepas ini masuk ke fasa menangis. Badan bayi bergerak tidak tentu arah dan menangis dengan kuat. Bayi mudah mengalami rangsangan berlebihan ketika fasa menangis. Jadi pastikan anda menenangkan bayi dengan mendakapnya atau membedung (balut bayi dengan kain).
Beri susu sebelum bayi masuk ke fasa menangis kerana jika mereka sudah menangis, mungkin sukar untuk memberi susu. Pada bayi baru lahir, menangis menandakan mereka sangat lapar!
Membantu bayi tidur
Bayi mungkin tidak dapat membentuk corak tidur dan bangunnya sendiri; terutama ketika mahu tidur. Anda boleh membantu dengan mengenal pasti tanda mengantuk, mengajarnya untuk tidur sendiri dan menyediakan persekitaran selesa serta selamat untuk tidur.
Antara tanda bayi mengantuk ialah:
# Menggosok mata
# Menguap
# Kelihatan melihat objek yang jauh
# Meragam
Bagaimana anda boleh membantu bayi tidur:
Bukan semua bayi pandai tidur sendiri. Apabila tiba waktu tidur, kebanyakan ibu bapa cuba mendodoi atau memberi susu bagi membantu mereka terlelap. Langkah ini memang baik, tetapi pastikan bayi tidak tidur di tangan atau dalam dakapan anda kerana dia akan belajar bahawa untuk tidur, dia perlu ada dalam dakapan.
Apabila bayi terjaga daripada tidur, dia mungkin tidak dapat tidur balik dengan sendiri. Kebanyakan pakar menyarankan untuk mendakap bayi hingga dia mengantuk dan kemudian letakkan bayi anda di katilnya ketika dia masih terjaga. Kaedah ini membolehkan bayi belajar untuk tidur. Memainkan muzik lembut dan perlahan apabila anda lihat bayi mulai mengantuk juga boleh membantu mereka tidur.
Corak tidur yang sesuai untuk bayi
Selama bertahun-tahun bayi di Amerika Syarikat ditidurkan dalam keadaan meniarap. Di kebanyakan negara lain, bayi ditidurkan secara terlentang. Bagaimanapun, kajian mendapati sindrom bayi mati mengejut (SIDS) ada kaitan dengan tidur meniarap. Kini pakar sependapat tidur terlentang lebih selamat untuk bayi.
Kadangkala boleh tidurkan bayi dengan cara mengiring, tetapi ia juga dikatakan berisiko tinggi berbanding tidur terlentang. Pakar melaporkan, tilam yang terlalu lembut, cadar yang boleh bergumpal dan selimut terlalu tebal (menyebabkan kepanasan) juga boleh mengakibatkan SIDS. Namun apabila mereka bangun, bayi boleh diletakkan dalam keadaan meniarap bagi merangsang pembentukan otot, mata dan mengelak belakang kepala menjadi leper. Jika bayi ditidurkan meniarap, mereka juga akan diletakkan di atas tilam lembut, jadi risiko SIDS semakin tinggi. Malah, ibu merokok juga sebenarnya meningkatkan risiko bayi mendapat SIDS.
Sejak Akademi Pediatrik Amerika menyarankan semula bayi ditidurkan secara terlentang pada 1992, kes SIDS menurun lebih 40 peratus.
Tidur terlentang mempunyai banyak kebaikan lain. Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan bayi yang tidur terlentang mudah muntah atau muak, sebaliknya mereka mudah tercekik jika tidur meniarap.
Saranan menidurkan bayi:
# Pastikan tilam bayi tidak terlalu lembut dan dipasang dengan cadar yang tidak mudah tertanggal
# Alihkan bantal, selimut, mainan atau barang lain yang lembut daripada katil bayi
# Guna kain selimut yang khusus untuk bayi (ia berbentuk sarung kecil yang direka khusus untuk bayi, dipanggil ‘sleeper’) berbanding selimut biasa
# Jika menggunakan selimut, pastikan hujung kaki bayi dekat dengan hujung tilam. Pastikan panjang selimut hanya sampai ke dada bayi dan sisipkan selebihnya di bawah tilam dengan kemas
# Pastikan kepala bayi tidak tertutup sepanjang masa dia tidur
# Jangan tidurkan bayi di atas tilam air, sofa, tilam yang terlalu empuk, bantal atau permukaan lembut lain
Malah, banyak pendapat mengatakan tidur bersama bayi juga boleh mencetuskan keadaan berbahaya kerana bayi boleh tertindih. Justeru, ibu bapa disaran:
# Letakkan katil bayi berhampiran katil ibu bapa supaya mudah disusukan dan mengeratkan hubungan antara anak dan ibu
# Jika ibu memilih untuk tidur bersama (supaya mudah disusukan), pastikan bayi tidak ditidurkan dalam keadaan meniarap, jauhkan selimut dan jarakkan katil dari perabot atau dinding bagi mengelak bayi anda tersepit di celahnya
# Jangan benarkan adik beradik atau orang dewasa lain (selain ibu dan bapa) tidur bersama bayi
# Ibu bapa yang memilih untuk tidur sekatil dengan bayi perlu berhenti merokok dan tidak minum kerana ia boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk terjaga dengan cepat
# Untuk mengelak bayi terlalu panas, pastikan dipakai baju nipis dan tetapkan suhu bilik pada keadaan selesa. Dari semasa ke semasa, periksa dahi bayi anda bagi mengetahui dia tidak terlalu panas.
sumber harian metro