Kurun Najwa

Alah susu lembu



BAYI dan kanak-kanak kecil juga boleh mengalami alahan pada susu lembu. Ia adalah alahan makanan yang paling biasa berlaku pada kanak-kanak kecil tetapi berita baiknya, masalah ini akan hilang perlahan-lahan apabila mereka berumur dua atau tiga tahun.

Dalam tempoh itu, ibu bapa yang mempunyai anak alah pada susu lembu tidak perlu terlalu risau kerana tiada rawatan untuk ‘menyembuhkan’ masalah ini tetapi gejalanya boleh dikawal dengan memberi makanan bebas susu. Alahan pada protein susu lembu (CMPA) berbeza dengan tidak toleran laktosa.

Susu mengandungi protein, karbohidrat atau gula, lemak, vitamin, mineral dan air. Protein susu inilah yang boleh menyebabkan reaksi alahan pada sesetengah orang. Alahan pada protein susu boleh berlaku pada kanak-kanak yang diberi susu badan dan susu formula.

Bagaimanapun kanak-kanak yang diberi susu badan jarang mengalami masalah alahan makanan. Namun mereka masih boleh alami alahan apabila badan mereka bertindak balas terhadap protein susu lembu (daripada makanan ibu) yang masuk ke dalam susu badan.

Dalam keadaan lain, sesetengah bayi menjadi sensitif terhadap protein susu lembu yang hadir dalam susu ibu, tetapi mereka tidak akan alami alahan sehinggalah meminum susu lembu (susu formula berasaskan susu lembu).



Gejala CMPA

Bayi CMPA boleh alami beberapa gejala pada satu masa seperti:

# Ekzema atau ruam kulit

# Sakit perut

# Muntah

# Cirit birit

# Meragam

# Berat badan tidak bertambah dan jika ada terlalu sedikit

# Banyak angin dalam perut

# Sukar bernafas

Walaupun selesema adalah masalah biasa pada kanak-kanak, mereka tidak sepatutnya alami masalah kesukaran bernafas akibat pengumpulan mukus (cecair atau lendir) pada hidung dan tekak. Bagi sesetengah bayi, masalah ini disebabkan tindak balas terhadap protein susu lembu. Bayi CMPA juga biasanya turut berhadapan dengan masalah kurang zat. Antara ciri yang boleh diperhatikan ialah kekurangan air dalam badan, tiada selera makan dan menyusu dan tidak bertenaga. Kesannya, pembesaran mereka terjejas. Malah mereka juga boleh alami alahan yang lebih teruk dipanggil anafilaksis, bagaimanapun keadaan ini jarang terjadi.

Bagi kes anafilaksis, gejala boleh timbul dalam masa beberapa minit selepas minum atau makan makanan yang mereka alah. Gejala paling serius ialah bengkak pada muka, mulut dan lidah yang menyebabkan pesakit sukar bernafas. Selain itu ruam yang gatal, kulit merah dan muntah adalah gejala anafilaksis juga boleh berlaku. Jika anak anda menunjukkan gejala ini, dapatkan bantuan secepat mungkin kerana ia boleh membawa maut.

Pengesahan alahan CMPA

Untuk pengesahan anak anda alami CMPA, ada dua perkara yang perlu dilihat iaitu:

Pertama, alahan pada susu lembu bukan satu-satunya penyebab kepada sakit perut, ekzema, ruam, muntah, cirit birit atau bayi tidak berhenti menangis. Gejala ini juga boleh disebabkan perkara lain yang memerlukan rawatan.

Kedua, bahaya reaksi anafilaksis. Jadi, sangat penting untuk doktor anda mengesahkan bahawa anak anda memang alami alahan pada protein susu lembu kerana jika ya, anda perlu memastikan si kecil tidak diberikan semua susu, produk susu dan makanan mengandungi susu.

Oleh kerana setiap kanak-kanak adalah unik, seseorang bayi yang disyaki alami alahan susu perlu diberikan penilaian perubatan, pelan perubatan dan rawatan susulan khusus. Anda perlu mengubah diet jika memberikan anak susu badan atau menukar susu formula untuknya.

Dalam kes tertentu, doktor akan menyarankan anda untuk menghentikan pemberian susu selama sebulan. Selepas tempoh ini berikan susu kepada anak dan lihat jika dia alami gejala alahan. Malah doktor juga mungkin merujukkan anak anda kepada pakar alahan untuk menentukan punca sebenar kepada gejala alahan yang si kecil alami melalui ujian pada kulit atau ujian darah.



Rawatan

# Untuk bayi yang diberikan susu badan tetapi alami alahan CMPA: Anda tidak perlu menghentikan pemberian susu badan kerana ia adalah makanan terbaik untuk bayi. Malah gejala alahan ini akan hilang jika anda menghentikan pengambilan produk mengandungi susu lembu. Dapatkan nasihat doktor mengenai diet bebas susu yang sesuai untuk anda.
# Untuk bayi yang diberikan susu formula: Doktor akan menyarankan anda untuk bertukar kepada susu formula berasaskan soya atau hidrolisat. Elak memberi anak semua jenis susu formula berasaskan susu lembu, tidak kira apa jenamanya.

# Jika anak anda disahkan alami alahan susu yang teruk: Doktor akan beri ubat khusus sebagai tambahan kepada diet bebas susu lembu. Ubat ini seperti antihistamin atau epinefrin perlu digunakan mengikut arahan iaitu hanya apabila anak anda tersilap mengambil produk mengandungi susu lembu dan menunjukkan reaksi alahan.


Bila bayi boleh memulakan semula produk susu?

Apabila anak anda semakin membesar, anda boleh memperkenalkan semula susu lembu ke dalam dietnya - selepas mendapat nasihat doktor atau pakar alahan. Walaupun secara umumnya masalah ini hilang apabila kanak-kanak berumur dua hingga tiga tahun, tetapi keadaan setiap orang berbeza. Ada yang cepat dan ada pula yang masih alami alahan walaupun sudah berumur lima tahun.

Doktor anda mungkin menyarankan supaya anak anda diberikan diet bebas susu sekurang-kurangnya bagi 12 hingga 18 bulan pertama. Anak anda akan diuji semula setiap enam bulan sehinggalah doktor mengesahkan anak anda tidak lagi alah pada susu lembu. Sebaik doktor memberi pengesahan ini, patuhi saranannya untuk memasukkan semula semula susu ke dalam diet anak.

Jangan cuba-cuba memberikan anak susu lembu tanpa kebenaran doktor. Jika anak anda menunjukkan gejala anafilaksis selepas diberikan susu atau produk mengandungi susu, jangan sekali-kali cuba memperkenalkan susu kepadanya sehinggalah disahkan dia bebas daripada masalah ini. Biasanya proses untuk memperkenalkan semula susu kepada kanak-kanak yang ada masalah anafilaksis dilakukan di hospital.


Jenis makanan yang perlu dielak

Apabila anak anda mula makan makanan pejal, berhati-hati supaya makanannya tidak mengandungi sebarang bentuk susu lembu. Antara produk yang perlu dielak ialah:

# Semua jenis susu atau makanan mengandungi susu lembu (susu skim, tepung, pepejal atau sejat)

# Keju, dadih keju, dadih dan aiskrim

# Mentega, mentega susu, marjerin yang mengandungi susu

# Produk soya yang mengandungi susu lembu. Banyak produk soya yang ada di pasaran seperti manisan soya mengandungi sedikit susu lembu. Jadi, pastikan anda membaca label sebelum membeli.

# Bijirin campur yang mengandungi susu tepung

# Semua produk yang mengandungi kasein (dieja casein), kaseinat (caseinate), sodium atau kalsium kasinat, laktalbumin atau whey. Ia menandakan kehadiran protein susu

# Susu bebas laktosa

Walaupun anak anda alah pada susu lembu, tetapi kajian menunjukkan kanak-kanak begini jarang-jarang alami masalah apabila makan daging lembu. Jadi anda boleh memasukkan daging ke dalam diet si kecil.

Sumber Harian Metro
Pakar Kanak-kanak:
Bersama Dr Syed Nazir Syed Kadir

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails