Kurun Najwa

Asid folik kurang risiko kecatatan bayi


ASID folik adalah sejenis vitamin B. Terdapat 12 jenis vitamin B. Asid folik dilaporkan dapat menurunkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang (sistem tiub neural) janin atau bayi sehingga 80 peratus.

Ini adalah penurunan risiko yang besar.

Pembentukan otak (dan organ lain) janin berlaku dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan (12 minggu ke bawah). Apabila seseorang disahkan hamil melalui ujian air kencing, usia kandungannya sudah pun lima minggu.

Doktor lazimnya menasihatkan wanita mula mengambil pil asid folik sebanyak lima miligram atau sekurang-kurangnya 400 mikrogram setiap hari seawal sebulan sebelum memulakan kehamilan.

Secara praktiknya memandangkan kita tidak pasti bila kita akan hamil, maka pengambilan pil asid folik elok dimulakan bila-bila masa sama ada sebulan sebelum perkahwinan atau sebulan sebelum menghentikan pengambilan kaedah mencegah kehamilan.

Bagi wanita yang pernah melahirkan anak dengan kecacatan berkaitan seperti bayi tanpa tempurung kepala (anencephaly), asid folik, elok diambil sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum kehamilan.

Pengambilan makanan berkhasiat dan suplemen berkaitan dapat memberi sumber makanan optimum kepada janin anda, tanpa menunggu sehingga selepas kelahiran.

Selain itu, tidak salah jika anda ingin meneruskan pengambilannya kini. Kajian juga ada melaporkan kebaikan lain asid folik seperti mengurangkan risiko nyanyuk apabila berusia lewat kelak.

Vitamin B pula seperti vitamin C iaitu bersifat larut air, pengambilan dalam dos berlebihan akan bersifat membazir kerana ia akan keluar di dalam air kencing atau najis. Anda juga dinasihatkan mendapat nasihat doktor anda sebelum pengambilan suplemen lain.

Sumber Harian metro
PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails